SEPTEMBER 2021

Sarawak Buka Ruang Niaga Di Pesta Dagangan Dan Perkhidmatan China


KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak turut serta dalam Pesta Dagangan dan Perkhidmatan China (CIFTIS) 2021 di Pusat Konvensyen Kebangsaan, Beijing, China dari 2 hingga 7 September 2021 dengan membuka ruang niaga Sarawak.

Ini adalah kali kedua MINTRED menyertai CIFTIS selepas menyertainya secara virtual pada 2020, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri MINTRED, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

China adalah rakan perdagangan utama Sarawak dengan nilai dagangan RM20.2 bilion pada 2020 terutama dalam bidang bahan bakar galian, kimia dan peralatan jentera dan pengangkutan, katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, meskipun berhadapan dengan ancaman pandemik Covid-19 yang melanda dunia, MINTRED terus menyokong PKS untuk mengembangkan peluang perniagaan mereka di pasaran antarabangsa.

CIFTIS telah menyediakan satu lagi platform kepada pertumbuhan perniagaan dan perdagangan dalam menggalakkan pemulihan ekonomi dunia, tegas beliau.

Tahun ini, beliau berkata, sembilan syarikat yang menyediakan barangan eksport dijemput oleh MINTRED ke CIFTIS 2021 dengan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka di ruang niaga Sarawak.

Syarikat tersebut termasuk Ladang Lebah Kumpulan Rimbunan Hijau, Cocoworld’s Gula Apong, Kumang & Co, Dafha Food Manufacturing Sdn Bhd, Kun Products, Antare Adventures Sdn Bhd, Nang Ori dan Mulu Group Limited.

Sarawak mengalu-alukan pelabur dari China untuk menerokai peluang dalam dagangan dan pelaburan di Sarawak dan mahu mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama dan rakan niaga.

Sumber dari : Jiwa Bakti